Tuesday, August 9, 2011

Turun Berat Badan – Bulan Puasa ??

Bulan Ramadhan adalah masa yang terbaik bagi mereka yang ingin menjaga kesihatan dan menurunkan berat badan mereka.  Ini adalah kerana apabila seseorang itu berpuasa, maka kadar permakanan mereka akan sedikit terkawal tidak seperti hari-hari kebiasaannya.

Bagi mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, bulan ramadhan adalah platform terbaik dalam membantu mereka menurunkan berat badan dengan cara yang sihat dan murah. Jika makanan yang diambil semasa bersahur dan berbuka dijaga dengan baik, secara tidak langsung  akan membantu menurunkan berat badan secara sihat tanpa sebarang risiko.

Penurunan berat badan dengan cara berpuasa di bulan Ramadhan adalah berbeza dengan amalan crash diet  atau cara diet untuk menurunkan berat badan lain seperti langsung tidak makan nasi tapi hanya meminum air saja. Risiko diet apabila tidak makan dalam tempoh yang terlalu lama, anda akan makan terlalu banyak dari kebiasaan selepas lama berlapar.  

Adalah menjadi satu kerugian dan tidak mendatangkan apa-apa hasil apabila  anda tidak makan dalam tempoh yang lama, tetapi kemudian makan dengan banyaknya.

Jelas disini, diet di bulan puasa adalah lebih seimbang kerana anda dapat makan  semasa bersahur dan juga berbuka  tapi masih dapat melakukan amalan diet.

Jauhi KANSER

Penyakit kanser sudah menjadi perkara biasa hari ini sehingga kita terfikir mungkin kita juga akan menghidap penyakit ini.  Dengan penemuan baru, ternyata kanser payu dara, usus besar dan ovari adalah 30% berpunca daripada baka (genetik). Pasti anda berfikir,  tiada apa yang boleh dilakukan, hanya berserah kepada takdir.

Kenyataan ini tidak benar.   Tahukah anda!  Para pengkaji di Universiti Harvard, Amerika mendapati hampir 7 (tujuh) daripada setiap 10 (sepuluh) jenis kanser tidak langsung ditentukan oleh baka (genetik), tetapi ianya adalah melalui cara hidup kita dimana 30% berpunca daripada merokok, 30% berpunca daripada pemakanan yang tidak sihat dan kira-kira 10% disebabkan tabiat buruk seperti tidak bersenam.

Oleh yang demikian, jika gaya hidup anda boleh menjadikan anda penghidap kanser, kendalikan hidup anda dengan cara yang sihat bagi menghindari penyakit ini. Ikutilah nasihat ini untuk mengurangkan risiko mendapat kanser.

15 Tips Menurunkan Berat Badan

1.       KATAKAN SAYA BOLEH –Yakin Anda boleh melakukannya!
2.      SARAPAN WAJIB DI AMBIL
3.      BACA KANDUNGAN GIZI (LABEL MAKANAN) – Pastikan anda tahu menilai jumlah kalori & zat Pemakanan yang anda ambil
4.     ELAK DIET SEMENTARA – Jangan lakukan `crash diet’ atau  nak cepat langsing
5.      MAKAN DENGAN TERATUR – Sediakan Jadual & Menu pemakanan lengkap yang boleh anda ikuti sebagai rutin harian.
6.     BANYAKKAN PENGAMBILAN SERAT
7.      PILIH MAKANAN YANG MENYIHATKAN
8.      LAKUKAN SENAMAN – Paling mudah berjalan kaki setiap hari minima 10 – 20 minit
9.     BUANGKAN  TABIAT KEBIASAAN  MENGUNYAH PADA WAKTU MALAM
10.  BANYAKKAN PENGAMBILAN PROTEIN
11.     BUANG KEBIASAAN YANG TIDAK BAIK  – Contoh dengan penggunaan gula yang rendah kalori berbanding gula biasa !
12.   JADIKAN  ORANG SEKELILING ANDA SEBAGAI INSPIRASI
13.   CATATKAN SETIAP PENURUNAN BERAT BADAN ANDA
14.   MINUM AIR YANG MENCUKUPI – Minum air bersih lagi menyihatkan seperti air penapis.
15.   BERAT BADAN TURUN, BADAN SIHAT – Sentiasa Ingat

Berpuasa Masih Boleh BERSENAM

BERSENAM ketika berpuasa? Pasti ramai yang berkata tidak. Alasan yang popular adalah letih, dan ada juga yang menyoal kembali, kenapa perlu bersenam?

Bersenam atau melakukan aktiviti fizikal bersesuaian ketika berpuasa memang digalakkan untuk semua peringkat umur tidak kira sesiapa termasuk mereka yang kurang upaya. Ia bergantung kepada tahap kesihatan individu itu sendiri.

Selain senaman memanaskan badan, individu juga boleh menggunakan treadmill atau kayuhan basikal yang boleh dilakukan selama kira-kira 10 hingga 15 minit. Bagi mereka yang memilih melakukan senaman selepas berbuka, pastikan makanan yang dimakan semasa berbuka telah benar-benar hadam. Ambil masa sekurang-kurang setengah hingga satu jam selepas makan. “Cuba elakkan berbuka dengan mengambil makanan berat, sebagai contoh nasi. Sebaiknya, individu dinasihatkan agar hanya mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit seperti sebiji kurma dan segelas minuman. “ Melakukan senaman kardio selama kira-kira 30 minit baik untuk jantung. Ini boleh diikuti dengan latihan mengangkat bebanan, latih tubi dan regangan.

Jadikan keberkatan bulan Ramadan sebagai motivasi untuk menjadi cergas dan sihat dengan mengamalkan aktiviti fizikal.

Jenis Senaman & Waktu Yang Sesuai Bersenam Di Bulan Puasa

Waktu yang paling ideal untuk kita bersenam di bulan puasa sebenarnya bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian masa individu itu sendiri.  Namun begitu waktu petang sebelum berbuka puasa adalah masa yang paling sesuai.   Ini kerana kekurangan cecair yang diperlukan akan dapat diganti semula sejurus selepas waktu berbuka puasa.   Aktiviti senaman ringan seperti berjalan pantas dan berbasikal sudah memadai untuk membantu membakar lemak di dalam badan.

Selain daripada waktu petang, kita juga boleh melakukan aktiviti senaman di sebelah malam iaitu selepas waktu berbuka puasa dan solat tarawikh.  Aktiviti-aktiviti yang dilakukan mestilah bersesuaian dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan kita.  Ini kerana makanan yang diambil sewaktu berbuka tidak dapat dihadamkan sepenuhnya. Ia mungkin akan menimbulkan ketidakselesaan kepada kita, jika terus melakukan aktiviti-aktiviti berat seperti latihan mengangkat beban dan sebagainya.

Untuk kekal cergas di bulan Ramadhan, adalah disarankan juga bagi mereka yang tidak berkemampuan atau berkeupayaan untuk bersenam atau bersukan, supaya melakukan aktiviti fizikal harian seperti mengemas rumah, berkebun, membasuh kereta dan berjalan sebagai alternatif untuk mereka cergas di bulan puasa ini untuk lebih bertenaga dan menjadikan kita berasa sihat  dan cergas.
Apa yang penting sekiranya kita ingin kekal cergas dan sihat di bulan puasa ini, amalan melakukan aktiviti fizikal dan senaman merupakan sesuatu yang perlu dititikberatkan selain daripada penjagaan makanan yang teratur. Ditambah pula dengan keberkatan dengan memperbanyakkan ibadah di bulan yang mulia ini, tidak mustahil kita akan lebih sihat daripada bulan-bulan lain.

Kecergasan Diri - Bulan Puasa

Memang tidak dinafikan apabila kita berpuasa, badan akan menjadi letih disebabkan oleh kekurangan tenaga di dalam badan. Faktor cuaca di negara kita yang panas  juga menyebabkan badan kita mengalami keletihan dan menjadi lesu.  Namun begitu, kita tidak seharusnya alpa dan lalai dalam mengambil berat tentang aspek penjagaan kesihatan diri kita.  Jika kita tidak mengambil berat tentang aspek pemakanan ia sedikit sebanyak akan menyebabkan kita terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, penyakit jantung, risiko menjadi obesiti dan lain-lain lagi.

Walaupun sedang berpuasa, kita juga boleh terus kekal cergas dengan melakukan aktiviti fizikal dan senaman ringan bergantung kepada keupayaan seseorang individu itu.  Kebanyakan daripada kita menganggap bulan puasa sebagai platform untuk menguruskan badan dan mendapatkan bentuk badan yang menarik. Hakikat ini memang tidak dapat dinafikan, namun begitu dengan mengamalkan diet sahaja ia sebenarnya tidak membantu kita untuk kekal cergas di bulan puasa ini. Kepelbagaian pengambilan jenis makanan sewaktu berbuka puasa menyebabkan badan kita tidak dapat menghadam dan memproses makanan  dengan sempurna.  Ini ditambah pula dengan makanan yang berlemak dan berminyak serta aneka kuih-muih yang manis menyebabkan lemak-lemak yang tidak dapat dihadam tadi tersekat dan berkumpul di sekitar saluran darah.  Setiap kalori yang terkandung di dalam makanan perlu dibakar dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti bersenam. f Selain dapat mengeluarkan peluh, ia juga membantu melancarkan aliran darah dalam badan dan membantu meningkatkan kekuatan otot bergantung kepada jenis aktiviti yang kita lakukan.